Umum mengetahui, tahun 2023 kini sudah pun hampir ke penghujungnya dan bakal berlalu pergi. Tidak lama lagi, kita bakal menyambut pula kehadiran tahun baharu, 2024 dengan semangat serta azam yang baharu.
Bukan sahaja semangat dan azam yang baharu perlu dipupuk dalam diri acap kali tahun baru menjelang tiba, malah dekorasi hiasan dalaman kediaman juga perlu diberi nafas baharu dengan pelbagai pilihan warna cat dinding yang baharu.
Terbaharu, jenama cat antarabangsa, Jotun kini telah memperkenalkan Koleksi Warna Global 2024 (Global Colour Collection 2024) yang menampilkan 23 warna pilihan bagi tahun baru ini, secara rasminya pada Jumaat lalu.
Untuk maklumat anda, Koleksi Warna Global 2024 kali ini telah mengetengahkan elemen yang bertemakan CANVAS bagi memberi inspirasi dan galakan kepada sesiapa sahaja yang ngin menzahirkan jati diri mereka menerusi kediaman masing-masing.
Koleksi Warna Global 2024 ini mempersembahkan 23 warna daripada koleksi Jotun yang disediakan dalam rangkaian produk cat Majestic Sense. Pelet ini merangkumi 10 rona baharu yang dirumus secara khas pada tahun ini di bawah arahan Pengurus Warna Global, Lisbeth Larsen, dan menerusi kolaborasi rapat dengan makmal teknologi warna Jotun.
Setiap tahun, Larsen dan pakar-pakar warna daripada tenaga penyelidikan antarabangsa Jotun akan meneliti masyarakat dari serata dunia. Merujuk trend dan arus budaya yang baharu, Jotun menterjemahkannya kepada pelet warna yang menepati gaya hidup moden.
“Dalam aspek menzahirkan personaliti dan kreativiti diri, warna merupakan alat yang paling berkesan. Tanpa kita sedar, diri kita sebenarnya sarat dengan pelbagai idea. Dan ada kalanya kita hanya perlu mencari keberanian untuk meluahkan idea tersebut. CANVAS merupakan cara Jotun memberi orang ramai keberanian ini; menunjukkan bahawa semua orang memiliki kebolehan yang terpendam untuk menjadi seorang artis yang berseni,” ujar Pengurus Warna Global Jotun, Lisbeth Larsen.
Bagi anda yang belum mengetahui warna pilihan koleksi warna untuk tahun baru ini, sebagai jawapan kepada trend global kali ini telahb berpaksikan warna-warna yang mendamaikan. Pelet 2024 yang telah dipersembahkan oleh Jotun merangkumi seperti spektrum warna hijau yang berunsur alam semula jadi, di samping warna-warna biru dan kelabu lembut yang seakan menyuluh di keheningan langit dan laut.
Selain itu, warna perang, kuning atau keemasan juga yang seumpama dapat mendekatkan lagi diri kita dengan bumi, mampu memberikan secubit keceriaan dalam suasana kediaman yang didiami.
Ini adalah senarai pilihan warna yang telah dipersembahkan oleh Jotun untuk Koleksi Warna Global bagi tahun 2024:
Selain menggalakkan pemilik rumah mencungkil kreativiti dan menzahirkan jati diri mereka yang sebenar menerusi warna, Koleksi Warna Global oleh Jotun juga menyediakan panduan bagi kombinasi-kombinasi warna yang efektif, diberi nafas melalui imej-imej fotografi interior sebagai inspirasi. Berpaksikan konsep-konsep teori warna, berserta pelbagai prinsip yang menjadi panduan para artis dan pereka interior untuk berabad lamanya, koleksi ini menawarkan panduan sekilas kepada famili-famili warna yang harmoni berserta kontras yang bertepatan.
Setiap lembaran interior dalam Koleksi Warna Global diiringi dengan grafik roda warna untuk membolehkan pengguna memahami kombinasi-kombinasi warna serta rasional di sebalik rona yang dipilih. Pilih warna yang sejajar untuk membuahkan interior yang tampak bersepadu; pilih yang berlawanan untuk menyuntik elemen keterujaan dan pesona ke dalam ruang tersebut; atau pilih warna-warna dengan intensiti yang setara untuk kombinasi aneka warna yang lebih bernuansa.