FERUNI MEMBUKA TIRAI JENAMA BAHARUNYA DENGAN KERJASAMA BARISAN PEREKA CIPTA TERKENAL, TAMPIL REKAAN YANG LEBIH SEGAR & MEMPERSONAKAN

Sebagai peneraju yang membawa perubahan kepada industri jubin di Malaysia, kini Feruni mengumumkan jenamanya yang diberikan nafas baharu. Turut diumumkan perkongsian jenama tersebut dengan barisan pereka cipta serta pertunjukan koleksi terbesarnya yang terdiri daripada 175 rekaan jubin bersaiz besar yang direka khas dengan kehadiran lebih daripada 100 orang tokoh dalam kalangan pemaju hartanah, arkitek, pereka bentuk dalaman dan seniman dalam acara gilang-gemilang Discover New Art Forms with Feruni di ibu pejabat syarikat tersebut.

Sebagai sebahagian daripada usaha penjenamaan semulanya, Feruni meletakkan visi baharu untuk menjadi pembuat dan pereka cipta jubin paling digeruni yang mentransformasi ruang kediaman dan pejabat, menginspirasi pelanggan, memberikan kegembiraan kepada para pekerjanya dan meningkatkan gaya kehidupan masyarakat. Cogan kata baharu bagi jenama tersebut berbunyi “Where Every Tile Is A Work of Art” dan ia akan menjadi batu asas sepanjang syarikat tersebut mengembangkan produk dan perkhidmatannya untuk menunaikan dan merealisasikan janji yang dibawa oleh jenama itu.

Usahawan cekal dan berdaya maju serta pernah memenangi anugerah, Ketua Pegawai Eksekutif di Feruni, Dato’ C.C. Ngei, berkata, “Perjalanan Feruni dipacu oleh kesungguhan kami untuk berbuat sesuatu dengan cara yang berbeza demi melakukan transformasi dalam industri jubin di Malaysia. Reputasi kami dibina atas usaha kami untuk memberikan suatu pengalaman bertaraf dunia kepada para pelanggan kami, menawarkan trend yang terkini di dunia dalam pembuatan jubin, memperkenalkan produk yang direka cipta secara inovatif untuk menyemarakkan imaginasi para pelanggan kami dan menyerlahkan kehalusan seni yang terpancar daripada semua produk kami.”

“Bertitik tolak daripada pengumuman rasmi mengenai penjenamaan semula Feruni pada hari ini, kami berada pada kedudukan strategik untuk memacu industri melalui kreativiti, kerjasama dan daya saing yang disegani. Dengan asas dan jenama yang kukuh, kami kini bersedia untuk melebarkan sayap kami dengan penuh yakin untuk membawa jenama baharu Feruni yang kekal dan kebal menempuhi masa depan,” kata beliau.

 

Sebagai sebahagian daripada platform Seni dan Seniman, Feruni bekerjasama dengan Valhalla Garage mempersiapkan sebuah kereta Porsche 911 yang diperindah dengan balutan jubin. Projek bernama The Art 911 dilaksanakan oleh Studio Feruni bagi mecipta suatu rekaan yang menggabungkan elemen jubin secara tersusun dan halus untuk membaluti Porsche 911 tersebut sambil mengekalkan elemen estetika dan mekanikal pada legenda automotif berkenaan bagi menghasilkan rekaan yang tiada tolok bandingnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Satu lagi usaha perkongsian dan barisan produk baharu yang diperkenalkan ialah Koleksi Mandi Bunga yang dihasilkan daripada kerjasama antara Feruni dengan Nala Designs, iaitu salah satu gedung fesyen terkemuka yang diasaskan pada tahun 2009 oleh Lisette Scheers yang mendapat gelaran “Ratu Corak.” Sebagai figura yang terkenal dalam arena seni, Lisette Scheers yang berasal daripada Denmark dan kini berpangkalan di Kuala Lumpur menyatakan komitmen beliau untuk memelihara warisan Malaysia dengan menterjemahkan reka cipta yang unik pada corak dan motif ke dalam pelbagai produk fesyen dan peralatan rumah.

Kerjasama rapat beliau dengan pasukan daripada Studio Feruni menghasilkan Koleksi Mandi Bunga yang menampilkan bunga-bungaan daripada pelbagai pokok buah-buahan Malaysia seperti buah naga, rambutan, durian, manggis dan belimbing di dalam jubin bersaiz besar, menyerlahkan keyakinan Lisette Scheers bahawa pokok yang berbunga memiliki makna teristimewa yang menyuntik keindahan pada persada Malaysia.

Lisette Scheers berkata, “Saya berasa amat gembira untuk meraikan kerjasama baharu kami bersama Feruni. Semangat juang dan kesenian jubin mereka yang serba inovatif membolehkan kami menterjemahkan reka cipta artistik pada rekaan Mandi Bunga ke dalam elemen seni bina mengagumkan yang mampu mentransformasi ruang kediaman.”

“Saya harap koleksi Mandi Bunga ini akan dapat memberikan ilham kepada rakyat Malaysia untuk mencipta ruang yang bersemarak dan menenangkan di tempat mereka sendiri. Saya berharap lebih banyak kerjasama akan dijalankan bagi membolehkan Feruni dan Nala Designs menyatukan seni, keindahan dan inspirasi demi mereka cipta produk yang akan terusmembuatkan para pelanggan kami terpegun,” kata beliau lagi.

Sebagai sebahagian daripada strategi untuk memperluas perniagaannya, Feruni akan melanjutkan cita-citanya untuk mendirikan sebuah Studio Reka Cipta dengan kerjasama rentas sempadan bersama seniman dan pereka cipta tempatan daripada pelbagai industri. Syarikat tersebut meletakkan sasaran dengan mengambil pendekatan fasa demi fasa untuk menerokai pasaran yang bermula di Asia Tenggara, kemudian Asia dan akhirnya mengglobalkan capaiannya ke seluruh dunia.

Syarikat tersebut turut menyediakan rangka tindakan untuk memperbaharu premis perniagaan terkini mereka dengan adanya format Gedung Runcit Feruni 2.0, bermula daripada ibu pejabatnya hingga seluruh negara. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang bagaimana Feruni terus mempelopori industri jubin melalui seni, keindahan dan inspirasi, sila layari https://www.feruni.com 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *