PRINCETON DIGITAL GROUP PEROLEHI TANAH DARIPADA JLAND GROUP UNTUK BANGUNKAN PUSAT DATA 150MW DI MALAYSIA

Projek yang terletak di Taman Teknologi Sedenak (STeP), Johor bakal menjadi antara pusat data yang terbesar di Asia Tenggara.

Princeton Digital Group (PDG), penyedia perkhidmatan pusat data terkemuka di Asia dan JLand Group (JLG), cabang hartanah dan infrastruktur Johor Corporation, telah memasuki perjanjian muktamad bagi pembelian tanah seluas 31 ekar di Taman Teknologi Sedenak (STeP), Johor untuk pembangunan sebuah kampus hiperskala 150W. Dengan pelaburan RM2 bilion (~USD 450 juta), fasa pertama hiperskala berkapasiti 60MW dijadualkan akan siap untuk perkhidmatan menjelang S2 2024.

 

Projek ini menandakan penceburan sulung PDG dalam pasaran Malaysia, sebagai negara ke-enam selepas Singapura, China, Indonesia, India dan Jepun. Pusat data yang dinamakan JH 1 bakal menjadi antara kampus pusat data yang terbesar di Asia Tenggara bagi memenuhi keperluan infrastruktur pelanggan merentasi rantau ini.

 

Majlis tandatangan PDG dan JLG yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini telah disaksikan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor dan Pengerusi Johor Corporation.

 

“Pada masa ini, tumpuan JLG ialah untuk meluaskan peluang perniagaan dalam bidang pusat data sambil pelabur dan pengendali memanfaatkan prospek sektor ini yang semakin pantas berkembang. Menerusi tawaran bersepadu kami di Taman Teknologi Sedenak (STeP), kami tetap komited untuk mengukuhkan kedudukan Johor sebagai titik tumpuan pusat data serantau memandangkan keupayaannya untuk memenuhi permintaan yang semakin bertambah. Penceburan PDG dalam Johor dan STeP adalah pengesahan kukuh strategi dan tawaran JLG,” kata Datuk Syed Mohamed, Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation dan Pengerusi JLG.

 

“Dengan semakin banyak syarikat dan komuniti menumpukan usaha untuk memperkenalkan alat dan strategi digital generasi akan datang, permintaan bagi simpanan data yang boleh dipercayai, pintar dan berdaya tahan akan berkembang secara eksponen. Justeru, kita perlu berusaha meningkatkan prestasi kelestarian pusat data menerusi platform Internet Kebendaan Perindustrian (IIoT), pemantauan tenaga dan kuasa, dan teknologi pendinginan inovatif,” tambah Datuk Syed Mohamed.

(Dari kiri) En Muaazam Mahmud, Managing Director, JLG; YBhg Datuk Sr Akmal Ahmad, Director, Real Estate and Infrastructure Division, Johor Corporation / Deputy Chairman, JLG; YBhg Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, President and Chief Executive of Johor Corporation / Chairman, JLG; Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor and Chairman of Johor Corporation; Mr Asher Ling, Chief Technology Officer and Managing Director, PDG, Singapore; Mr Matthias Vukovich, Chief Investment Officer, PDG

 

“Penceburan kami ke pasaran Malaysia akan meluaskan operasi PDG di Asia, yang dikukuhkan lagi dengan kehadiran kami sebagai pemimpin infrastruktur digital seluruh Asia,” kata Rangu Salgame, Pengerusi & Ketua Pegawai Eksekutif Princeton Digital Group.

 

Asher Ling, Ketua Pegawai Teknologi dan Pengarah Urusan PDG, Singapura, tambah, “Kami mempunyai kefahaman mendalam tentang keperluan hiperskala dan juga pelanggan yang meluaskan jejak mereka di Asia Tenggara dan memerlukan infrastruktur digital yang terbaik dalam kelasnya. Taman Teknologi Sedenak (STeP) merupakan tapak yang sesuai bagi pembangunan hiperskala dengan adanya infrastruktur kuasa dan ketersambungan yang kukuh, berganding faktor pemboleh lain. Pusat data kami akan mengguna pakai penyelesaian teknologi lestari terkini dan kami aktif bekerjasama dengan rakan-rakan tempatan dan pihak berkuasa kawal selia untuk menggunakan tenaga boleh diperbaharui bagi membekalkan kuasa kepada kemudahan kami.”

 

JLG juga mengumumkan taman pusat data seluas 640 ekar yang dinamakan STeP 2, yang dijangka siap menjelang September 2024. Sebagai sebahagian daripada pembangunan Ibrahim Technopolis (IBTEC) yang lebih besar, STeP 2 akan menerima bekalan tenaga daripada ladang fotovoltan solar, sejajar dengan Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF).  Tambahan lagi, STeP 2 dijangka mendapat manfaat daripada persiapan IBTEC untuk mencapai status Pusat Siber Digital Malaysia (MD).

 

Kepesatan pertumbuhan perkomputeran awan, e-dagang dan aplikasi data raya di Asia Pasifik telah menyaksikan peluasan kapasiti pusat data dan sistem infrastruktur pintar. Dalam Indeks Peluang Pusat Data SEA-5 Knight Frank (SEA-5 Index), Malaysia telah dikenal pasti sebagai destinasi utama bagi pelaburan pusat data, dengan penggunaan sehingga 113 MW dan pertumbuhan KDNK 8.7% pada 2022.  Ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pasaran lokasi bersama yang utama, dengan menarik minat pelabur dan juga pengendali pusat data.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *