RUANG KITA GAYA KITA

Ada orang suka menghias gaya Inggeris. Ada yang gemar gaya nusantara. Tidak kurang juga yang suka gaya santai moden.

Apa pun pilihan anda, pastikan ruang tamu memberi keselesaan kepada sesiapa saja yang menggunakannya. Pastikan setiap perabot ada fungsinya dan bukan sebagai hiasan semata-mata. Elak menghias sampai tetamu segan nak duduk dan ahli keluarga takut nak berkumpul di situ. Ingat, ruang tamu anda bukan ruang pameran kedai perabot ya…

7 PANDUAN MENGHIAS RUANG TAMU

1. Orang putih kata less is more. Kita kata lagi kurang lagi lapang. Jadi kalau rumah anda berkeluasan sempit dan sederhana,  pertimbangkanlah untuk mengambil pendekatan ini supaya ada ruang yang selesa untuk duduk beristirahat dan bersembang. Jangan terlampau ghairah menghias sampai tak boleh nak berkuak.

2. Keluasan ruang juga mempengaruhi bilangan tempat duduk dan ukuran sofa yang disediakan. Kalau ruang kecil, elak guna satu set sofa ukuran besar. Sebaliknya pilihlah sofa ukuran sederhana tiga atau dua tempat yang digandingkan dengan sepasang kerusi kayu satu tempat duduk. Set lengkap sofa ukuran besar hanya sesuai untuk ruang luas. Bahkan kalau ruang sangat luas boleh sediakan dua ruang tamu!

3. Pilihan jenis tempat duduk bergantung kepada gaya hiasan anda. Kerusi logam atau kerusi kayu “straight cut” menyerlahkan gaya moden yang ringkas dan teguh manakala sofa fabrik membawa ciri keinggerisan yang
dan indah. Kerusi kayu berukiran memaparkan unsur nusantara yang hangat dan sofa kulit chesterfield menggambarkan gaya Amerika yang gah.

4. Kehadiran meja kopi memang tidak sepenting sofa tapi kewujudannya menambah seri ruang. Ia juga berfungsi sebagai tempat meletak hidangan ringan ketika menerima kunjungan tetamu. Di sesetengah kediaman, meja kopi juga berfungsi sebagai tempat anak-anak buat kerja sekolah.

Dengan kepelbagaian fungsinya itu menyebabkan ramai yang memilih untuk membeli meja kopi berasingan sebab boleh pilih rekaan yang sesuai dengan keluasan ruang dan keperluan ahli keluarga.

Ya, meja kopi juga sering dijadikan tempat mempamerkan perhiasan tapi pastikan tidak terlalu sarat sehingga menutupi tiga perempat ruang permukaan meja.

5. Meja sisi adalah satu lagi kelengkapan tambahan yang kehadirannya tidak terlalu mendesak namun memberi manfaat, terutama bila tetamu berkunjung. Kalau ruang luas boleh letak dua atau tiga meja sisi. Anda boleh susun di hujung kiri-kanan sofa tiga tempat duduk dan di tengah-tengah sepasang kerusi satu tempat duduk.

Kalau ruang sempit memadai letak sebuah meja sisi saja ataupun tidak perlu langsung. Pilih meja sisi berlaci supaya laci itu boleh diguna untuk menyimpan barang.

6. Langsir boleh dikatakan pelengkap gaya ruang tamu. Hampir semua rumah dipasang langsir kerana ia turut berfungsi sebagai penapis cahaya dan menghalang pandangan terus orang luar ke dalam rumah. Pastikan warna, corak dan gaya langsir tidak keterlaluan sampai mencacatkan suasana.

Kata pakar, warna langsir hendaklah senada dengan warna sofa tapi tak semestinya sewarna. Katanya lagi, kalau sofa itu bercorak maka bolehlah diambil daripada warna corak atau warna latar sofa untuk fabrik langsir. Kalau mengetengahkan sofa bercorak pula maka seelok-eloknya langsir biarlah polos. Begitu jugalah kalau sofa polos maka bolehlah guna fabrik bercorak untuk langsir. Kalau dua-dua langsir dan sofa bercorak  nampak serabut pula, lebih-lebih lagi di ruang sempit.

Gaya langsir yang dikatakan paling memikat  dan sesuai untuk ruang tamu luas mahupun  sempit ialah yang ringkas seperti lisu Perancis, lisu cubit dan lisu pensil. Bidai adalah satu lagi pilihan menarik.

Bagaimanapun, ada juga gemar membiarkan tingkap rumah mereka “boleng” lebih-lebih lagi kalau ruang bertingkap itu mengadap taman yang indah dan jauh daripada lalu-lalang manusia.

7. Ruang tamu umumnya dianggap kurang sempurna tanpa kabinet hiasan atau meja konsol. Ini kerana perabot itu menjadi tempat tuan rumah mempamerkan koleksi perhiasan kesayangan mereka. Lazimnya kabinet hiasan menempatkan himpunan pinggan mangkuk kesayangan tuan rumah yang tidak dihidangkan kepada keluarga mahupun tetamu. Golongan berada pula selalunya mempamerkan set hidangan berjenama mewah. Ia berfungsi sebagai bahan hiasan yang kerap menjadi pencetus bualan.

Meja konsol pula dihiaskan dengan koleksi gambar kenangan dan lampu berterendak.

Apa-apa pun elak menjadikan ruang tamu anda seperti stor atau ruang pameran. Pastikan ada ruang untuk bergerak dan gaya hiasan yang ditampilkan mampu menghidupkan suasana kediaman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *