PUNCA BAJU TAK KERING PAKAI DRYER DEKAT DOBI

Ramai sekarang ni yang menggunakan dobi layan diri, dah tak basuh baju dekat rumah. Kata mereka cepat, tetapi kalau kumpul duit tu boleh beli dah satu biji mesin basuh kot. Tak mengapa Cik Seri faham masa tak mengizinkan. Nak sidai baju lagi nak tunggu kering lagi semua ambil masa. Faham sangat!

Bila dah cuci baju dan keringkan dekat dobi layan diri ada juga masalah baju kurang kering walaupun dah gunakan mesin pengering baju. Siapa pernah alami macam ni? Bila baju kurang kering kena tambah lagi duit untuk tambah masa keringkan baju-baju tersebut.

Menurut Salkukhairi Abd Sukor, dia mendapati cara pakaian dimasukkan ke dalam dryer menjadi salah satu punca ia gagal dikeringkan dengan sempurna.

 

Cara yang salah boleh menyebabkan pakaian anda susah kering.

“Saya dapati ramai orang yang mencampakkan sahaja kain mereka terus ke dalam mesin pengering dengan keadaan kain yang masih basah dan berpintal-pintal.

“Dengan mencampakkan kain terus ke dalam mesin, ia akan mengakibatkan kain anda tidak dapat kembang (terdedah) dengan baik sewaktu mesin pengering berpusing.

“Ini menyebabkan kain tidak dapat kering dengan sempurna, terutamanya yang agak tebal dan di bahagian pinggang dan kaki seluar,” ujarnya di Facebook.

Kaedah yang betul untuk meletakkan pakaian di dalam dryer.

Cara yang betul adalah seperti berikut:

1. Sila perah dan kibas kain anda terlebih dahulu. Ini bertujuan memastikan tiada lagi sisa-sisa air pada kain tersebut dan menjadikan ia dapat kembang (terdedah) dengan baik dan tidak berpintal-pintal apabila dimasukkan ke dalam mesin pengering nanti.

2. Sila masukkan kain tersebut ke dalam mesin pengering sehelai demi sehelai dengan keadaan ia dikembangkan. Sila susun kain tersebut secara berlapis.

3. Cara ini menjadikan adanya ruang di antara kain anda yang membolehkan kain dapat berpusing dengan baik di dalam mesin pengering dan menjadikan proses pengeringan lebih sempurna.

Jelasnya, cara ini dapat mempercepatkan proses pengeringan dan menjimatkan masa serta wang pelanggan.

Malah, pakaian juga boleh kering dengan sempurna dalam masa 30 hingga 35 minit sahaja (untuk satu bakul penuh kain).

Selain itu, kain juga tidak akan berkedut dan mudah dilipat sebaik sahaja dikeluarkan daripada mesin pengering.

Selamat mencuba!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *